KUALA LUMPUR, 5 April: Pihak kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan diingatkan agar mengutamakan aspek halal, keselamatan dan mutu makanan dalam meluluskan makanan untuk orang ramai di negara ini.
Ingatan tersebut sejajar dengan usaha yang dilakukan oleh kementerian itu dalam usaha mengemaskinikan lagi undang-undang mengenai pemakanan yang membawa kepada pembentangan satu lagi rang undang-undang baru yang dinamakan Rang Undang-undang Juruanalisis Makanan 2010 pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Ahli Parlimen Pendang, Dr Mohd Hayati Othman ketika mengingatkan perkara itu berkata, dengan pengenalan rang undang-undang itu diharap akan menyedarkan lagi Kementerian Kesihatan bagi menjadikan negara sebagai halal hub untuk menentukan kehalalan makanan yang diluluskan.
Menurut beliau, selain itu, penekanan ke atas makanan dan minuman kesihatan juga perlu dilakukan bagi menjamin makanan dan minuman itu benar-benar bermanfaat kepada orang ramai.
Katanya, antara contoh makanan dan minuman yang dimaksudkan itu termasuklah Tongkat Ali dan minuman lain yang dikatakan 3 dalam 1 yang dikatakan berkhasiat, tetapi dibimbangi semakin lama digunakan akan menjadikan seseorang itu makin kurang sihat.
"Jadi dengan pengenalan rang undang-undang baru ini diharap juruanalisis makanan itu dapatlah menyiasat perkara itu bagi mengesahkannya untuk kepentingan orang ramai," katanya ketika berucap membahaskan Rang Undang-undang Juruanalisis Makanan 2010 pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Di samping itu, beliau turut mengingatkan agar dengan pengenalan rang undang-undang itu, juruanalisis yang dilantik itu akan turut memainkan peranan dengan baik dalam memastikan makanan yang diproses dan dikeluarkan oleh pihak-pihak terbabit itu dihasilkan dengan cara yang betul dari sisi syarak dan terjamin dari bahan-bahan merbahaya.
Antara penghasilan yang dimaksudkan itu, katanya termasuklah susu.
Beliau turut berharap agar juruanalisis yang dilantik itu benar-benar berkemampuan, di samping turut diberikan peluang bukan sahaja kepada pihak tertentu sahaja, tetapi juga NGO-NGO Islam dan lulusan IPTS.
Selain menekankan tentang makanan manusia, beliau turut berharap agar rang undang-undang tersebut turut menekankan analisis bagi makanan haiwan untuk membekalkan makanan yang baik, bermutu dan terjamin bagi haiwan.
Namun menyentuh tentang perkara yang berkaitan dengan profesionalisme dan pengalaman juruanalisis yang akan dilantik dan didaftarkan yang dinyatakan dalam rang undang-undang itu, beliau mempertikaikan tentang tindakan yang akan dikenakan oleh pihak kerajaan apabila terdapat perrcanggahan tindakan atau hukuman yang akan dikenakan antara mereka yang menjalankan kerja itu tanpa pendaftaran dengan mereka yang menjalankan kerja tersebut dengan pendaftaran atau perlantikan walaupun kurang pengalaman.
Manakala Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad ketika berucap membahaskan rang undang-undang itu turut menekankan pihak kerajaan agar lebih mengutamakan profesionalisme juruanalisis makanan yang dilantik itu.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat antara lain berkata, dari sudut falsafah, beliau menyokong pengenalan undang-undang itu kerana ia akan membekalkan kepada rakyat makanan yang mencukupi dan bermutu dan terjamin dari segi agama, mutu dan keselamatan.
"Meskipun baik dari sudut matlamat. Tapi ia akan membina birokrasi, akan membengkakkan lagi birokrasi kerajaan kerana rang undang-undang ini sendiri bermatlamat hendak menubuhkan majlis," katanya.
Sementara Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat ketika mencelah mempertikaikan rang undang-undang tersebut kerana tidak terdapat akta yang komprehensif mengenai makanan yang diimport dari luar negara bagi memastikan makanan tersebut terjamin dari segala segi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan