3/29/2011

UMAR MUKHTAR Singa Padang Pasir


Kemerdekaan merupakan impian setiap manusia. Tiada manusia yang sanggup dibelenggu oleh penjajahan dan penindasan. Apabila hal ini berlaku, manusia akan tampil memberontak dan berusaha membebaskan diri mereka ataupun negara mereka dari cengkaman tersebut. Inilah yang dapat diperkatakan mengenai Umar Mukhtar, wira kebanggaan rakyat yang namanya bersemadi di dalam hati sanubari rakyat Libya hingga ke hari ini. Sedari usia muda beliau bangun memperjuangkan kemerdekaan negaranya daripada dibelenggu oleh cengkaman Itali walaupun akhirnya Umar Mukhtar terpaksa syahid di tali gantung.

Libya merupakan sebahagian daripada negara Islam yang berada pada naungan Khilafah Uthmaniyah, dan pemimpinnya pada ketika itu ialah Al Mahdi As Sanusi. Namun keadaan Daulah Uthmaniyah mulai lemah pada akhir abad 18 M, disebabkan serangan daripada Salibisme Barat dalam usahanya untuk meruntuhkan Khilafah Islamiyah dan menguasai dunia Islam. Penduduk Libya bangkit melawan penjajah, memanfaatkan sebahagian persenjataan bekas tentera-tentera Uthmani dan menyerang Itali. Namun mereka para Mujahid sangat memerlukann seorang komandan yang berani dan cerdas untuk menyatukan mereka. Dan didapatilah seorang komandan dan mujahid yang agung, beliau ialah Umar Mukhtar.

RIWAYAT HIDUP
Beliau ialah Umar Mukhtar bin Umar Al Manfy, seorang yang paling terkenal sebagai mujahid di Tripolis Barat dalam menentang penjajah Itali. Dilahirkan di Al Bathnan iaitu di Burqoh pada tahun 1862 M daripada kedua-dua orang tua yang saleh, ayah beliau meninggal dunia ketika pergi ke Hijaz dalam perjalanan Ibadah Haji. Beliau belajar di daerah Sanusiah ( di Jaghbub ), Muhammad Al Mahdi sebagai syeikhnya di daerah Qusyur di Jabal Akhdhor dekat Miroj. Kemudian beliau bersama syeikhnya pergi ke Sudan tahun 1312 H (1894M), dan tinggal di Kalak sampai tahun 1321 H (1903M), kemudian kembali kepada syeikhnya di Barqoh di daerah Qusyur dan tinggal di sana hingga tentera Itali dapat merebut Ben Ghozi tahun 1329 H. Pada tahun 1340 H terjadi perdamaian antara penguasa Itali dan penguasa Tripolis Barat, maka terjadilah perselisihan antara pemimpin Tripolis dengan Burqoh dan mereka berlepas tangan dalam menghadapi tentera Itali. Mulailah Umar Mukhtar bangkit memimpin mujahidin. Semua kabilah bersepakat untuk mengangkatnya sebagai komandan bahkan pemimpin tertinggi bagi mujahidin yang bermarkas di Jabal Akhdhor.

Umar Mukhtar membesar dalam ketaatan kepada Allah, beliau hafal al qur'an umurnya belum genap 13 tahun. Beliau juga mendalami Syari'ah Islamiyah sebagaimana mendalami sirah para sahabat nabi tentang kepahlawanan mereka di medan pertempuran. Sepanjang hidup beliau dijalani dalam ketaqwaan kepada Allah, beliau juga mempunyai semangat jihad yang tinggi demi mempertahankan Islam dari dinodai. Untuk itu beliau dipilih oleh pemimpin Libya sebagai Kadi di daerah Qusyur.

JIHAD UMAR MUKHTAR
Akibat kebencian dan kemarahan yang meluap-luap, rakyat Libya segera bangkit mempertahankan tanah air mereka. Umar Al Mukhtar diarahkan untuk mengetuai pertempuran. Beliau mengatur strategi dengan membentuk satu pasukan tentera yang digelar tentera Mujahidin dengan bersumberkan cukai yang meliputi cukai binatang ternakan dan bijirin. Rakyat Libya membantu pasukan Mujahidin dengan makanan, tentera dan bekalan senjata.

Walaupun selepas beberapa tahun berjuang Itali berjaya menawan Libya, namun pada peringkat awal mereka tidak dapat berbuat demikian kerana pejuang Mujahidin Libya seperti Umar Mukhtar dan para pengikutnya memberikan tentangan yang begitu hebat kepada tentera Itali. Mereka meninggalkan rumah dan bergerak menuju ke kawasan pergunungan untuk merancang dan melancarkan serangan terhadap tentera Itali. Umar Mukhtar bertanggungjawab menyusun gerakan tenteranya di Gunung Hijau (al-Jabal al-Akhdar), Timur Libya dan melancarkan serangan terhadap Itali selepas Perang Dunia 1. Pasukan Mujahidin menyerang tentera Itali di atas puncak bukit, hutan dan lembah Gunung Akhdar.

Apabila Itali berasa bahawa mereka sukar untuk menghadapi tentera Mujahidin dan mungkin kehilangan Libya kepada pihak Mujahidin, pihak berkuasa Itali menghantar salah seorang pegawai tertinggi mereka, Badolio. Badolio menggunakan kaedah yang tidak berperikemanusiaan untuk menamatkan penentangan. Dia bukan hanya mengetuai penentangan terhadap Umar Mukhtar dan pengikut-pengikutnya, tetapi turut bertindak menghukum penduduk-penduduk yang tinggal di bandar dan di desa dan menuduh mereka membantu tentera Mujahidin Libya. Di samping Badolio, kerajaan Itali yang diketuai oleh Mussolini turut menghantar Rodolfo Grasiani unttuk menyelesaikan masalah yang berlaku. Semasa Libya di bawah Grasiani, beribu-ribu rakyat Libya yang tidak berdosa sama ada tua, muda, perempuan, dan kanak-kanak dibunuh secara kejam. Mussolini mengarahkan Grasiani melakukan apa-apa sahaja bagi menghadapi penentangan rakyat Libya.

Grasiani bersetuju ke Libya jika Mussolini membenarkan dia melakukan apa-apa yang di suka, termasuk membelakangi undang-undang yang sedia ada. Sebelum pergi ke Libya, terlebih dahulu pegawai yang kejam ini berkunjung ke Morj, Switzerland untuk bersuka ria dan pada masa yang sama merancang serangan bunuh terhadap rakyat Libya dengan berpandukan kepada motto yang dipegang oleh Mussolini, "Jika anda tidak bersama saya, anda menentang saya!" Ini bermakna satu cara terbaik untuk menawan negara tersebut dan mengawal rakyatnya adalah dengan membunuh! Akibatnya, semasa Libya berada di bawah penjajahan Itali, ramai daripada rakyatnya telah dibunuh dengan kejam. Kaum lelaki, wanita, orang tua dan kanak-kanak telah dizalimi dan dibunuh sama ada dengan menembak mereka, menggantung mereka di khalayak ramai dan membunuh secara tidak langsung iaitu dengan membiarkan mereka mati kelaparan, dan tidak diberi ubat apabila mereka sakit. Tindakan-tindakan kejam ini dilakukan demi untuk menunjukkan kepada dunia bahawa mereka berkuasa dan mampu menceroboh dan menawan negara lain, sama seperti kuasa-kuasa lain di dunia.

Perancangan Grasiani ialah memencilkan Libya sepenuhnya dan menghalang sebarang hubungan secara langsung atau tidak langsung antara Mujahidin Libya dengan jiran-jiran mereka yang selama ini membekalkan mereka dengan senjata dan maklumat. Grasiani telah membina tembok berwayar yang panjangnya sejauh 300km, tingginya 2 meter dan 3 meter lebar, bermula dari Pelabuhan Bardiyat yang terletak di utara Libya hingga ke Al-Jaghoub di Tenggara Libya, Perancangan beliau yang kedua ialah membina kem tahanan berpusat di Al-Aghaila, Al-Maghroun, Solouq dan Al-Abiyar.

Pada penghujung November 1929, semua rakyat Libya tinggal di khemah di al-Jabar al-Akhdar, Mortaf-Aat Al-Thahair, dari Utara Beneena hingga ke Ash- Shlaithemiya Selatan, dari Tawkera hingga ke selatan padang pasir Balt Abdul-Hafeeth. Semua penduduk daripada mana-mana kabilah, dipaksa meninggalkan tanah dan rumah mereka untuk sama-sama tinggal di kem tahanan berpusat. Kehidupan yang sangat menyedihkan di dalam kem tahanan seperti kelaparan dan berpenyakit telah menyebabkan beribu-ribu rakyat Libya menemui ajal mereka. Mereka yang dipercayai membantu pasukan Mujahidin telah digantung dan ditembak. Lebih 100,000 orang telah dipaksa ke kem tahanan di kawasan Baraqa. Daripada jumlah itu hanya 35,000 orang yang berjaya meneruskan kehidupan.

Pasukan Mujahidin tetap berjuang menentang pendudukan Itali. Umar Mukhtar tetap teguh dengan pendiriannya. Beliau sekali-kali tidak akan menyerah atau berputus asa. Beliau meningkatkan penentangan di Gunung Akhdar. Suku kaum dari daerah yang berhampiran turut menyertai beliau dalam perjuangannya.

Akan tetapi pada tahun 1931, pihak Mujahidin kehabisan bekalan makanan, maklumat dan bekalan senjata. Umar Mukhtar yang pada ketika itu telah berumur 80 tahun telah jatuh sakit beberapa kali. Ramai pengikutnya meminta beliau menggantung senjata dan meninggalkan negara tersebut. Beliau begitu marah apabila dinasihatkan meninggalkan perjuangannya selama ini dek kerana usianya yang sudah lanjut. Tetapi dengan semangat yang teguh beliau terus meneruskan perjuangan membebaskan negaranya. Atas dasar itu beliau telah digelar "Singa Padang Pasir".

TAWARAN TERHADAP UMAR MUKHTAR
Pihak Itali yang menyangka bahawa Umar Mukhtar boleh dibeli telah menawarkan beliau elaun sebanyak 50,000 lira Itali sebagai pertukaran untuk beliau menandatangani perjanjian perdamaian. Namun, beliau enggan dengan berkata bahawa pendiriannya tetap teguh dan jitu. "Kita mempunyai sunnah Nabi Muhammad yang boleh membimbing kita dalam jihad kita," kata beliau memberikan kata-kata semangat kepada pengikut-pengikutnya.

Mereka juga berusaha merayunya dan memberi tawaran untuk dipilih sebagai wakil hakim Itali, akan diberi kedudukan yang tinggi, wang 100,000, dan akan dibangunkan istana yang megah dikelilingi kebun yang luas, namun komandan Muslim ini telah memilih akhirat dibandingkan dunia yang fana ini serta menolak semua tawaran tersebut.

Kemudian Itali berusaha dengan cara yang lain, iaitu dengan menawarkan perjanjian damai. Namun Umar Mukhtar dan para Mujahidin tidak mengenal penyelesaian seperti ini, yang mereka inginkan hanyalah kemuliaan Islam dan membebaskan tanah air mereka, lalu mereka menetapkan tiga syarat:

1. Itali hendaklah mengakui bahawa bahasa Arab adalah bahasa rasmi Negara. 2. Mengiktiraf agama Islam sebagai agama rasmi Negara.
3. Komandan-komandan tentera Libya hendaklah terdiri daripada orang Libya sendiri.

Itali menolak syarat-syarat tersebut dan gagallah jalan perdamaian ini. Berita tentang keberanian para Mujahidin ini sampai di media massa Eropah, maka pemerintah Itali marah kepada pasukan Itali yang berada di Libya. Justeru, mereka mendatangkan bantuan tentera daripada luar untuk mencabut akar-akar perjuangan Islam daripada bumi Libya.

SYAHIDNYA UMAR MUKHTAR

Dalam usaha memerangkapUmar Mukhtar dan pengikutnya yang terperangkap di Gunung Akhdar, kerajaan Itali telah mengarahkan sempadan Mesir, Chad dan Sudan ditutup. Peristiwa ini dipanggil Italy Holocaust di Libya. Pada 12 September 1932, dalam satu misi pengintipan tentera Itali, dan selepas berlakunya satu pertempuran yang sengit, Umar Mukhtar dan pasukannya telah diserang dan ditangkap. Kira-kira 40 orang pengikutnya telah terbunuh. Hanya beliau yang terselamat dan telah diserahkan kepada Komandan tentera Itali. Semua mereka tidak mengetahui bahawa tawanan mereka ialah Umar Mukhtar. Apabila telah diketahui, beliau dikirim ke Sausah dan dipenjara selama empat hari. Ketika ditanya apa yang beliau kerjakan, maka beliau menjawab dengan tegas tanpa rasa takut dan berkata kepada tentera-tentera Itali : " Penangkapan ke atas diri saya hanya semata-mata kehendak Allah Azza Wajalla dan aku telah menjadi tawanan kalian, maka Allah sajalah yang mengatur segala urusan, sedang kalian dengan posisi kalian itu, berbuatlah semahu kalian terhadapku. Maka harus diketahui bagi kalian bahawa aku sekali-kali tidak akan pernah pasrah untuk taat kepada kalian".

Umar Mukhtar telah ditawarkan pengampunan dalam usaha menukar pendirian beliau dan pengikut-pengikutnya agar menghentikan perjuangan. Tetapi tawaran itu telah ditolak oleh Umar Mukhtar dengan tegas. Beliau bersedia untuk menghadapi perbicaraan pada 15 September 1931. Perbicaraan itu merupakan suatu perbicaraan yang tidak adil yang hanya mengambil masa selama 75 minit. Hasil perbicaraan itu, Umar Mukhtar telah dijatuhkan hukuman mati. Peguam belanya menuntut hukuman penjara seumur hidup dengan alasan umurnya yang sudah tua. Namun mahkamah membuang nilai-nilai kemanusiaan dan memutuskan hukuman mati kepada beliau. Ketika mendengar keputusan itu beliau terima dengan lapang dada.

Hukuman mati itu berlangsung pada 16 September 1931 di bandaraya Solouq di hadapan 20,000 rakyat Libya. Hukuman mati yang dikenakan terhadap Umar Mukhtar telah dilaksanakan tanpa menimbangkan usianya yang telah lanjut dan tanpa mengikut undang-undang antarabangsa dan perjanjian semasa peperangan. Namun sewaktu hendak di tali gantung jelas kelihatan ketenangan di raut wajah Umar Mukhtar. Beliau sempat bersembahyang sunat sebelum dihukum gantung. Sebelum tali gantung dikalungkan kelehernya, beliau memandang kepada pengikutnya seraya berkata kepada mereka : "Wahai para Mujahidin ! janganlah kalian berputus asa daripada rahmat Allah, kerana Allah akan menolong kalian daripada penjajah perampas ini, dan Allah akan menolong Islam dengan kalian. ! ".

Tepat pada jam sembilan pagi hari Rabu tanggal 16 September 1931 M, Itali melaksanakan hukuman gantung kepada pahlawan ini, dan diletakkanlah tali gantungan di lehernya. Selepas dihukum gantung, Umar Mukhtar yang dianggap simbol pembebasan dan jihad Libya dengan segera telah dikebumikan di Ben-Ghazi. Makamnya telah dikawal dengan rapi oleh tentera Itali.

Kematian Umar Mukhtar telah mencetuskan bantahan daripada negara Arab dan negara Islam. Rakyat mengadakan demonstrasi jalanan dan sembahyang jenazah untuk beliau telah diadakan. Kematian Umar Mukhtar telah menyebabkan pergerakan pembebasan di Libya hilang arah tujuannya. Hal ini telah memudahkan kerajaan Rom mengisytiharkan Libya diletakkan di bawah pemerintahan tentera Itali pada 24 September 1932. Penguasaan Itali terhadap Libya berterusan sehingga Itali tewas dalam Perang Dunia Kedua dan Libya diletakkan di bawah penyeliaan Tentera Bersekutu sehingga 24 Disember 1951, apabila Libya mencapai kemerdekaan selepas beberapa tahun dijajah.

PENGHARGAAN KEPADA UMAR MUKHTAR

Walaupun Umar Mukhtar telah meninggal dunia, jasa, perjuangan dan pengorbanannya menentang penjajahan telah menjadi inspirasi dan sentiasa bersemadi di dalam hati rakyat Libya mahupun masyarakat Arab dan Islam hingga ke hari ini. Lantaran itu, sebagai penghargaan kepada Umar Mukhtar:

• Libya mengisytiharkan kemerdekaannya pada 16 September, tarikh Umar Mukhtar dihukum gantung.
• Pada ulang tahun ke 56 kematian Umar Mukhtar, kerajaan Libya membina sebuah muzium untuk menunjukkan kepada rakyat senjata yang digunakan oleh Umar Mukhtar dan pengikut-pengikutnya.
• Mata wang kebangsaan Libya - dinar memaparkan gambar Umar Mukhtar.
• Pada tahun 1991, Umar Mukhtar telah dianugerahkan Yemeni Medal of Independence of The First Degree yang diterima oleh anaknya.
• Pada tahun 1940, kelab Umar Mukhtar telah ditubuhkan di Mesir. Persatuan lain juga telah ditubuhkan menggunakan namanya di seluruh negara Arab dan negara-negara Islam.• Sebuah filem berdasarkan riwayat hidupnya lakonan Anthony Quinn telah diterbitkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan